Saturday, March 19, 2011

KAU MEMBAKARKU KE SYURGA




tangan dari google



 
Setelah tumpah darah manusia paling murni
Tangis halus harus jadi nikmat agung di nuragamu
Azan iqamat perlu jadi landas aqidah ajaran sulung di indera dengarku
tiada

Aku menanti dalam dukungan
Pancarkan seluruh mata belas anak-anak
Sehingga ketika ku berbaring dalam hanyir dan lendir
Baru disedar engkau bukan manusia
Dan kau pun membakarku ke syurga.



*Terbit di Utusan Mingguan Melayu, 5 April 2010


Saturday, March 5, 2011

MENCARI TENANG DI WAJAHMU




pengantin dari google




Secebis cintamu Adam untuk si Hawa,
Bisa melahirkan beribu rasa yang sukar dimengerti,
Secangkir manisan kata menggula bibir,
Buat dapatkan sekeping hati yang terpinjamkan oleh Tuhan.

Secebis cintamu Adam untuk si Hawa,
buat sekeping hati yang terpinjamkan oleh Tuhan,
Seharusnya terjaga dengan lembut belaian tangan kekar itu,
Bukan membesit hancur setiap pepenjuru yang mencintai
tanpa ada pertengahan dan pengakhiran.

Secebis cinta Adam untuk Hawa
Adalah syurga di dunia dan di sana,
Jika ia setulus cinta Muhammad,
Tereda oleh Tuhan pada suci ikatan.

Secebis cintamu Adam untuk si Hawa,
Biar pun hanya sedetik waktu,
Berikan peluang kudrat wanitanya,
Mencari tenang di raut wajahmu.



Sisipan Tunas Cipta, Dewan Sastera
Oktober 2008


Sunday, February 27, 2011

MENDENGAR OMBAK







Kau membiru sebiru haru jiwaku
izin aku lembutkan warnanya
pada hantar deru ombakmu
mengaut segala garisah di pesisir pantai hatiku

ombak putih yang kau utus semalam
masih kedengaran tegurnya
disuruh lontar pandangku
ke dasar makhfimu
buang bayang hati mendura

aku rindu mendengar ombak
sekali menghempas darat
sekali luka kalbuku terbebat 



*aku anak laut di perantauan yang sehingga bila pun mencintai laut seadanya kerana denganku ia sentiasa setia dan mendengar.


Tuesday, February 22, 2011

MENJAWAB KHALIL GIBRAN





Hei kekasihku,

Kelmarin aku adalah satu-satunya orang yang ada di alam ini.
kesendirian itu kejam seperti maut.
Aku sendiri seperti bunga mawar yang tumbuh dalam bayang-bayang batu karang yang tinggi,
kerana itu kehidupan tak merasai keberadaanku,
dan aku tak merasakan adanya kehidupan.
KHALIL GIBRAN




 


hei kekasihku,
  jika punya kesedaran bertuhan,
tak akan ada kesendirian mendura,
  sejauh mana merandai kehidupan
pasti sentiasa rasa bernyawa.


maut itu tidak akan menjadi kejam
tetapi sakti pelepas rindu,
pada hati sarat segala cinta
persembahan temu janji pada-Nya
di sana.


kau jua tetap terasa hidup
walau tiada tahu nafasmu di mana.
Hidup jua rasai hadirmu
walau entah di mana nyawamu berada.





< Sayidah Mu'izzah >

Sunday, February 20, 2011

SEPANJANG PERJALANAN ITU, KUKUNYAH HATIKU

bukit yang sakit dari google


Alang-alang pulang ke laman lahir
kubiarkan tembolok kosong
biar nasi pertama nanti
adalah nasi yang ditanak ummi.

dalam bas yang tiada semputnya
aku kira tiada yang akan ku makan
silap
kukunyah hati sendiri apakala melihat
bukit-bukit yang sewaktu kecilku sihat-sihat sahaja
kini sudah miliki tompok-tompok coklat ditubuhnya
kata dia “kusta ini,
dijangkiti daripada manusia-manusia yang tiada peri budi.”

wajah bukit yang berkusta
sedih apakala aku bilang
tanganku ini sedari kecil, ia kecil
kerana aku bukan wakil kota
yang kurang nampak karat di air minum
hanya jelas pada lumpur di dalam parti.

aku sumpah bukit
(sambil menggigit-gigit hatiku)
engkau bisa senyum haru
pada waktu
ramai yang merayu-rayu
walau hanya ada lumut di kakimu.



*Terbit di Ruangan Varsiti Berita Harian, 4 Februari 2010 


Friday, February 18, 2011

SALAM UNTUK IZRAIL

 
 
Al-Quran dari google
 
 
 
Aku bagai melihat pandanganmu
Memerhati Raqib dan Atid
Mengukur jarak dosa dan pahala
sebermula mukim tempat kudiami
Sebelum kau lontarkan ajal dalam sunyi.

Segeralah berutus salam denganku Izrail,
Jika nafas ini akan bertambah mengah
berlari di ranjau dosa
Kurelakan jasadku
Jadi asing ke kuburan.



*Terbit dalam
Antologi Penyair Muda Malaysia-Indonesia 2009

Monday, February 14, 2011

ADALAH ENGKAU

hujan dari Google


Adalah engkau jemari senja
yang menurunkan langit malam
Pada waktu mataku mahu melena

Adalah engkau lembut suria
yang membawa pagi
kala mimpiku belum sempat menjadi ngeri

Adalah engkau selebat hujan
pada waktu laman hatiku
berkeping-keping rekahnya
kala amarah kemarau bertebaran

adalah engkau penyedekah maaf paling dermawan
tetapi pengemis maaf paling angkuh
kerana katamu
“Jangan mudah jadi pemurah untuk maafkan aku.
 Bimbang suatu ketika, aku memandang enteng kemaafanmu.”



*Terbit dalam Antologi Penyair Muda Malaysia-Indonesia 2009